SELANGOR

4 penjuru pertandingan di DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: DUN Sungai Kandis (N 49) bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN); Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan BEBAS.

Pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), calon KEADILAN, Mat Shuhaimi Shafiei dicabar oleh Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Sementara itu, bagi N 50 DUN Kota Kemuning, menyaksikan lima penjuru diantara calon KEADILAN, V Ganabatirau menentang Tiew Hock Huat dari BN, selain

Abdul Razak Ismail (Parti Sosialis Malaysia) dan Burhan Adnan (PAS) dan calon BEBAS, S Rajasekaran.

Lima penjuru juga di DUN N 48 Sentosa pula, calon KEADILAN, Dr Gunaraj George akan menentang calon BN, Datuk T. Subramaniam atau lebih dikenali R.S Maniam (BN) yang merupakan Ketua MIC bahagian Kota Raja.

Turut bertanding calon BEBAS PS Rajoo dan Pengarah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) M Rajan serta M Thelaiambalam (PRM).

Bagi Parlimen P111 Kota Raja pula menyaksikan tiga penjuru diantara Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ketua MIC bahagian Sepang, V Gunalan (BN); Mohamed Diah Harun (PAS).

Pegawai Pengurus Bahagian P. 111 Kota Raja, Shukri Mohamad Hamin berkata, proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, di sini berjalan lancar sehingga ditutup pada pukul 10 pagi.

“Tidak ada borang pencalonan yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertan­ding dalam PRU14 berkenaan.

Terdahulu, Shuhaimi, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi penyokong Pakatan.

Manakala borang pencalonan pula dihantar jam 9.24 pagi.

Turut berarak, calon N 50 Kota Kemuning, V Ganabatirau; calon Sentosa N 48 Sentosa, Dr Gunaraj George; dan calon P 111 Kota Raja, Mohamad Sabu.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, sebelum hari membuang undi pada 9 Mei.

=EZY=


Pengarang :