SELANGOR

44,791 dapat manfaat Kerajaan Pakatan di DUN Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Rakyat Paya Jaras dianggap bertuah apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras bagi penggal 2013 hingga 2018 merupakan seorang yang agresif dalam memastikan masyarakat di kawasannya mendapat manfaat daripada hasil kekayaan negeri.

ADN terbabit, Mohd Khairuddin Othman, berkata setakat ini pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Paya Jaras sudah mencatatkan seramai 44,791 penerima pelbagai bantuan khususnya membabitkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Saya sudah berusaha sehabis baik dan inilah hasilnya, inilah sekadar yang saya termampu dengan 44,791 penerima manfaat dan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Exco serta seluruh kakitangan kerajaan kerana membantu rakyat Paya Jaras menikmati kekayaan Selangor.

“Terdapat individu atau keluarga layak menyertai lebih satu skim kerana mereka memang layak dan saya gembira untuk bersama-sama menjayakan lagi program IPR sekiranya diberi peluang lagi,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) merupakan skim paling mendapat sambutan apabila disertai seramai 16,998 peserta.

Selain itu, Skim Peduli Sihat pula disertai seramai 5,872 peserta, Insentif Perkahwinan Belia (722), Jom Shopping (4,752), bantuan ibu tunggal (337), Skim Tunas (887), bantuan menerusi sistem ADUN (1,769), Pusat Wanita Berdaya (270), Skim Mesra Usia Emas (3,084), Back To School (4,388), Skim Hijrah (948), penama (waris atau penjaga) kepada peserta (4,214), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) (550).

Katanya, selain memastikan skim dan bantuan ditawarkan kepada rakyat disalurkan dengan berkesan, beliau juga berusaha memastikan pembangunan infrastruktur di kawasannya berjalan lancar.

Antara projek pembangunan penting di Paya Jaras termasuklah projek jalan alternatif menghubungkan Kampung Seri Indah ke Tol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Hospital Sungai Buloh bernilai RM36.7 juta yang berada di peringkat tender dan Stadium Mini Paya Jaras yang sudah disiapkan bernilai RM7 juta (siap).

Selain itu Mohd Khairuddin turut aktif mengadakan pelbagai aktiviti seperti menganjurkan Liga Piala Adun tahun yang sudah memasuki edisi kelapan, kejohanan futsal Piala Adun, Sepak takraw Piala Adun, Karnival motorsikal dan kereta, Bazar Uptown dan banyak lagi.

=EZY=


Pengarang :