PBTSELANGOR

500 peserta meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 9 APR: Seramai 500 peserta menjayakan program Jalan Santai Kitar Semula sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 8 April lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan mendidik warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, katanya, ia adalah inisiatif MBSA menjadikan alam sekitar sebagai salah satu aspek penting dalam kehidupan seharian.

“Di samping itu, ia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Matlamat penganjuran program ini pada masa sama memberi fokus terhadap aspek penjagaan alam sekitar ke arah menjadikan Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, antara aktiviti dijalankan ialah berbasikal, larian kitar semula, persembahan pentas oleh kombo MBSA, zumba dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Katanya, program itu satu usaha menggalakkan penduduk Shah Alam mengamalkan budaya kitar semula khususnya kepada golongan muda.

“MBSA turut menyediakan kaunter bergerak Shah Alam on Wheel (SAOW) bagi perkhidmatan semakan bayaran cukai taksiran, semakan kompaun tempat letak kereta dan kaunter aduan jualan kupon parkir,” katanya.

Majlis disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.


Pengarang :