SELANGOR

55,045 pengundi hantu dikesan di Batu Tiga?

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 APR: DUN Batu Tiga mengesan pengundi baru meningkat kepada 55,054 orang melalui senarai pendaftar pemilik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi suku keempat, di kawasan itu.

Calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, perkara itu didapati sejurus selesai penamaan calon, pada 28 April lalu ketika bilik gerakannya memproses data pemilik yang diperoleh daripada SPR.

Katanya, angka itu meningkat dalam tempoh kurang tiga bulan, berbanding 53,000 pengundi sebelumnya.

“Data itu masih dalam proses untuk kita lihat berapa ramai lagi pengundi hantu.

“Memang pelik, namun bilik gerakan saya masih dalam usaha memproses data itu sehingga hari ini,” katanya ketika Ceramah Mega, di Dataran Sri Tupai Seksyen 20, baru-baru ini.

Lebih menghairankan, Rodziah berkata, seramai 30 warga emas berusia lebih 110 tahun didaftarkan sebagai pengundi di kawasannya.

Katanya, ia membabitkan penduduk di Taman Rashna seramai sembilan orang, manakala di Seksyen 17 seramai lima orang.

“Selama 10 tahun (dua penggal) saya menjadi wakil rakyat di sini, belum ada warga emas yang saya ketemu berusia melebihi 110 tahun.

“Lebih mengejutkan dua minggu lalu apabila kita turun ke lapangan, kita dapati alamat rumah tidak wujud di Seksyen 17 dengan jumlah pengundinya mencecah 20 orang.

“Justeru, kita perlu lipat gandakan tenaga dan seru semua rakyat turun mengundi supaya kita dapat lawan pengundi hantu yang tidak wujud ini,” katanya.


Pengarang :