SELANGOR

80% pengundi Bukit Gasing sedar PAKATAN guna satu logo

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 17 APR: 80 peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing sedar bahawa Pakatan Harapan (PAKATAN), menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Dewan Negerinya, R Rajiv berkata, kebanyakan pengundi ditemui memberikan galakan, maklum balas positif dan tidak membantah tentang penggunaan berkenaan.

“Bagaimanapun, terdapat juga segelintir daripada mereka yang tidak jelas mengenai perkara itu dan kami telah memberikan penerangan kepada penduduk mengenainya.

“Kami mengadakan aktiviti ‘walkabout’ di sekitar kawasan ini bagi memberi penjelasan kepada penduduk yang akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi penerangan kepada penduduk di Jalan 17/10, Sekyen 17 di sini, hari ini.

Rajiv berkata, aktiviti diadakan itu juga bertujuan membantu pengundi menyemak dan mengenal pasti kawasan mengundi masing-masing sekali gus mengutip dana membantu golongan yang memerlukan turun mengundi.

“Walaupun mereka (penduduk) tidak mengundi di kawasan ini, kami tetap mahu membantu dengan memberikan bantuan dan galakan supaya semua orang boleh pulang mengundi ke kampung halaman.

“Setakat ini, kami membuat apa yang patut dan mampu dalam memastikan semua orang dapat mengundi pada PRU14 kali ini,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 43,000 pengundi di kawasan itu.

Sebelum ini, Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penggunaan satu logo iaitu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), bagi semua calon PAKATAN yang bertanding pada PRU-14.


Pengarang :