PBTSELANGOR

95% kakitangan MPAJ bantu proses PRU14

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Seramai 800 warga kerja Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terbabit sebagai pegawai petugas, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, jumlah berkenaan membabitkan 95 peratus kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

“Walaupun ada kakitangan tidak terbabit sebagai pegawai petugas di tempat mengundi, namun ada kakitangan sokongan yang turut membantu kelancaran proses pilihan raya kali ini di lapangan.

“Ini termasuk tugas mengangkut barang, pemandu arah dan proses susun atur yang mana mereka ini akan bertugas di luar pusat saluran mengundi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di Menara MPAJ, pagi ini.

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, MPAJ sudah membuat penyelerasan urusan persediaan PRU14 membabitkan dua kawasan Parlimen, di bawah pentadbiran MPAJ.

Beliau optimis proses gerak kerja PRU14 dapat dijalankan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini sepanjang tempoh berkempen.

“Sebanyak dua kawasan Parlimen di bawah pentadbiran MPAJ, iaitu di P99 Ampang dan P100 Pandan serta empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N19 Bukit Antarabangsa, N20 Lembah Jaya, N21 Pandan Indah juga N22 Teratai.

“Kami berharap semua proses gerak kerja dapat berjalan baik menerusi komitmen pegawai dan kakitangan bertugas,” katanya.


Pengarang :