NASIONAL

ABIM saran debat terbuka bincang manifesto BN-PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 APR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan debat terbuka membabitkan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PAKATAN) diadakan bagi membincangkan hala tuju manifesto dibentangkan sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, debat itu penting ke arah membudayakan amalan politik sihat sehingga akar umbi dan membuka ruang kepada rakyat menilai seterusnya membuat perbandingan antara manifesto diketengahkan BN-PAKATAN.

“ABIM menilai kedua manifesto dikemukakan mempunyai kelainan dan perbezaan yang memerlukan penjelasan tuntas daripada wakil BN juga PAKATAN.

“Medium ini juga membolehkan rakyat berinteraksi secara terbuka dan menyuarakan keprihatinan mereka berkenaan manifesto dikemukakan.

“Selain itu, pentas ini juga membolehkan rakyat menilai sejauh mana manifesto pilihan raya dikemukakan kedua pihak terlaksana sejak 2013, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Mohamad Raimi berkata, wacana itu juga akan memudahkan calon dari parti masing-masing menjelaskan manifesto dengan lebih berkesan dan praktikal kepada kelompok pengundi disasarkan, di kawasan ditandingi.

Katanya, ABIM mahu masyarakat menganjak ke budaya politik lebih matang tanpa dibayangi amalan kempen berasaskan sentimen, kebencian, fitnah dan adu domba semata-mata.

“Manifesto adalah indikasi perancangan kedua pihak untuk tempoh lima tahun akan datang selepas PRU14 yang pastinya akan menyentuh kepentingan rakyat kerana mereka perlu diberikan akses untuk membolehkan penilaian secara rasional dan matang dibuat.

“Tambahan kita sudah menganjak ke zaman keterbukaan yang semakin bercambah seiring kesedaran rakyat dan percambahan saluran sosial media.

“Atas dasar itu, ABIM menyambut baik keterbukaan sebarang organisasi dan pengamal media untuk memberi ruang kepada debat sebegini berlangsung,” katanya.


Pengarang :