NASIONAL

ABIM saran isu kemiskinan rakyat ditangani kerajaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA KLUMPUR, 6 APR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap isu kemiskinan mendepani rakyat khususnya di kawasan bandar, mendapat perhatian kerajaan untuk ditangani segera.

Presidennya, Mohamad Raimi Abd Rahim berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ABIM memainkan peranan aktif memperjuangkan hasrat itu demi kebaikan dan masa depan golongan sasaran.

“Kita melihat kemiskinan atau kemelaratan khususnya membabitkan golongan terpinggir adalah satu realiti dalam masyarakat dan ABIM sebagai NGO di lapangan turut serta membantu golongan sasaran seperti pelarian, gelandangan, orang miskin dengan menyampaikan pelbagai bantuan.

“Terbabit dalam aktiviti sebegini, kita melihat ada isu penting harus ditangani yang bagai disenyapkan.

“Kita yakin isu ini harus dibawa ke peringkat polisi dan harus ada tindakan untuk penyelesaiannya,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mohamad Raimi berkata demikian selepas forum isu sosial semasa ‘Kemiskinan Bandar: Antara Fakta Dan Auta’ bersama Ketua Ekonomi DM Analytics Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Megulas lanjut, beliau berkata, forum diadakan itu adalah langkah awal bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa wujud isu berkaitan dalam kalangan masyarakat di bandar.

Katanya, ia juga rentetan daripada laporan dikeluarkan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini, menyatakan berlaku kemiskinan yang memberi kesan kepada kanak-kanak di Malaysia.

“Ia isu penting membabitkan anak-anak dan generasi muda dalam pendidikan juga survival dalam keadaan ekonomi semakin gerit.

“Kita harap forum ini menjadi langkah permulaan supaya isu ini dibincang dengan lebih serius.

“Diharap juga ketika negara di ambang pilihan raya ini, ia diberi perhatian semua parti dan calon bertanding bagi membincang serta menangani masalah kemiskinan di bandar dan luar bandar,” katanya.


Pengarang :