SELANGOR

Agihan kerusi DUN Selangor selesai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Pengagihan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu berjaya dimuktamadkan menerusi permuafakatan komponen Pakatan negeri, kata Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat, selewat-lewatnya sebelum tempoh hari penamaan calon dibuat.

“Alhamdulillah, ia sudah selesai. Tunggu sehingga proses penamaan calon, nanti kita umumkan (nama calon).

“Keutamaannya, muafakat yang utuh dalam kalangan komponen Pakatan dapat dibuat dan kita dapat mencapai kata sepakat itu,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyerahkan kepada pimpinan utama Pakatan untuk membuat pengumuman calon.

“Kita serahkan kepada Pengerusi (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) untuk membuat pengumuman itu,” katanya.

Terdahulu, Pakatan dilaporkan belum memuktamadkan baki enam kerusi DUN yang menjadi isu komponen parti negeri itu.

Kerusi berkenaan adalah, Seri Serdang, Lembah Jaya, Dusun Tua, Sungai Panjang, Sungai Burong dan Kota Damansara.


Pengarang :