NASIONAL

AirAsia tawar tambang tetap bantu pengundi balik kampung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 13 APR: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menawarkan kadar tambang tetap bagi semua laluan domestik sempena demam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

AirAsia melalui kenyataannya hari ini berkata, tambang tetap bermula dari 8 hingga 9 Mei itu untuk menyokong rakyat negara ini mengundi, di kampung halaman masing-masing.

“Tambang sehala ditetapkan pada RM99* bagi penerbangan laluan Semenanjung Malaysia, laluan Semenanjung ke Sarawak pula RM129*, manakala laluan Semenanjung ke Sabah ialah RM199*.

“Pengundi dinasihatkan supaya tiba lebih awal di lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesesakan, jangan lupa menggunakan perkhidmatan daftar masuk awal melalui laman sesawang AirAsia.

“Penumpang boleh membuat pendafatran seawal 14 hari sebelum penerbangan sehingga satu jam sebelum waktu berlepas dijadualkan,” katanya.

Pada masa sama, AirAsia turut mengesyorkan penumpang yang mempunyai bagasi tiba lebih awal, sekali gus mempunyai masa mencukupi sebelum waktu berlepas.

“Kami mengucapkan selamat mengundi buat semua rakyat Malaysia untuk PRU14 akan datang,” katanya.


Pengarang :