SELANGOR

Akademik bukan penentu kejayaan masa depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Mahasiswa cemerlang tidak seharusnya didefinisi berdasarkan gred mahupun pointer diperolehi, tetapi harus dinilai dari sudut kecemerlangan sahsiah.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Selangor (Unisel), Azrin Abd Rahim berkata, mahasiswa perlu mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah dituntut agama dan nilai mulia sekali gus berjaya menentukan hala tuju dan masa depan negara.

“Amat tidak wajar jika nilaian kecemerlangan itu diukur melalui kemampuan akademik, sedangkan untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan dan menjadi ahli masyarakat berguna, graduan itu perlu memiliki tahap rasional tinggi, disiplin, kekuatan sahsiah dan akhlak mulia.

“Disebabkan itulah kini masih terdapat 500,000 graduan diploma dan juga ijazah yang masih menganggur, ini kerana majikan di luar sana tidak memandang akademik semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Unisel Go Green di Dewan Pro Canselor Unisel, hadir sama 100 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 dan 50 penuntut Unisel.

Azrin berkata, mahasiswa perlu melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan universiti mahupun kolej kediaman.

“Program bukan akademik akan mengasah bakat komunikasi, keterampilan dan keyakinan dalam diri mahasiswa.

“Majikan mahu mahasiswa berinteraksi dengan baik kerana itu dianggap bonus dan paling penting nilai sahsiah itu dapat diterapkan dalam kerja berpasukan.

“Bagi yang masih bergelar mahasiswa kumpul sijil sebanyak mungkin kerana itu penentu masa depan anda yang lebih cemerlang,” katanya.


Pengarang :