SELANGOR

Akses teknologi mampan, jaminan keselamatan Jambatan Batu Arang Rawang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Pembangunan Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan Batu Arang mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini dan bersistematik.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Dato’ Ir Ruslan Abdul Aziz berkata, ia dilengkapi teknik penstrukturan tebing dan tembok penahan yang menjamin kestabilan projek berkenaan.

“Tembok penahan dan sistem perparitan turut melengkapi projek pembangunan ini, termasuklah skop pelebaran jalan dan pembinaan jambatan baru sepanjang 67 meter menerusi penambahan dua laluan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan di Jalan Batu Arang, Batang Berjuntai.

Difahamkan, projek yang menelan belanja sebanyak RM42 juta itu turut merangkumi pembinaan jambatan baru untuk tambahan dua lorong.

Selain itu, pembangunan turut tertumpu kepada kerja-kerja penaiktarafan jalan jambatan di sepanjang laluan 1.25 kilometer daripada dua lorong kepada empat lorong.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin turut turun padang merasmikan Majlis Pecah Tanah sebagai simbolik pembangunan projek berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 warga Rawang yang telah lama menantikan jajaran jalan baru sejak tempoh 30 tahun lalu.

=EZY=


Pengarang :