NASIONAL

Akta berita palsu bebankan pengamal media?

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 APRIL: Akta Antiberita Tidak Benar disifatkan sebagai satu beban buat pengamal media kerana ia akan menjadi satu alat menutup sesuatu maklumat yang benar dari disebarkan, kata Penyampai Astro Awani, Nadzli Kahar.

Katanya, undang-undang ini lebih kepada isu politik kerana ia dilihat mengongkong petugas media untuk bebas membuat liputan saksama, adil dan benar kepada masyarakat menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Akta ini lebih kepada menahan maklumat berkaitan yang perlu diberitahu kepada rakyat, ia dijadikan undang-undang supaya masyarakat tidak berkongsi dan menyampaikan maklumat itu kepada orang lain,

“Akta ini juga membuatkan pengamal media tidak diajak berunding dan industri media tidak dipanggil pihak berkaitan untuk berbincang mengenai undang-undang ini, jadi apa yang kami faham tentang ‘fake news’ ini memang tiada,” katanya di Forum Demokrasi PRU14: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia, semalam.

Forum dengan kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) itu bertempat di Universiti Selangor (UNISEL) bagi membincangkan siapa pilihan rakyat Malaysia menjelang PRU14.

Turut hadir sebagai ahli panel, Setiausaha Pakatan Harapan, Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi IDE, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.


Pengarang :