NASIONAL

Alasan ‘sibuk’, SPR elak pertemuan Pakatan Harapan?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 17 APR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa tidak memberikan penjelasan menyeluruh berhubung cadangan komponen Pakatan Harapan untuk mengadakan pertemuan bersama agensi itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agensi itu hanya memberikan alasan ‘sibuk’ walaupun permohonan awal bagi diadakan peretemuan itu sudah dibuat.

“Kita nak jumpa SPR, tapi permohonan kami ditolak. Perjumpaan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada SPR bagaimana cara pilihan raya ini akan diurus.

“HARAPAN ingin tahu bagaimana pengendalian undi pos diuruskan misalnya, undi awal dan isu-isu lain berkait perkara yang tidak jelas daripada SPR.

“Sebab itu pertemuan ini adalah perlu bagi memberitahu kepada SPR bahawa kami akan menggunakan logo KEADILAN dalam PRU ini.

“Namun tiada sebarang reaksi, tetapi surat yang kami hantar menerusi Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dibalas SPR dengan jawapan sibuk dan tiada masa langsung.

“Kami cadangkan untuk pertemuan dibuat pada 10 April lalu, tetapi jawapan mereka sibuk. Kononnya tiada masa langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) di Petaling Jaya, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, Tun Mahathir turut membacakan surat balas SPR dengan memetik kenyataan pegawai SPR berhubung, permohonan itu.

Namun Tun Mahathir berkata, penjelasan balas SPR itu menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti dan peranan agensi itu untuk berfungsi dengan adil, tanpa wujud sebarang tekanan pihak tertentu.

“SPR ditubuh untuk membantu proses pilihan raya supaya ia diadakan dengan tertib, cara yang baik dan aman.

“Tetapi SPR nampaknya tidak suka proses ini dijalankan dengan baik. Untuk mendapatkan penjelasan pun mereka tidak rela berjumpa,” sindirnya.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali komponen Pakatan membuat permohonan untuk memngadakan pertemuan bersama SPR.

Sebelum ini, Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasah turut mendedahkan keengganan SPR mengadakan bertemuan bersama mana-mana komponen parti politik pembangkang.


Pengarang :