GLOBAL

Amerika mahu sertai kembali TPPA

WASHINGTON 14 APR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa AS hanya akan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jika ia ditawarkan syarat yang jauh lebih baik berbanding rundingan sebelum ini.

Kenyataan Trump di laman Twitter lewat kelmarin itu dibuat beberapa jam selepas beliau membayangkan bahawa AS mahu menyertai semula perjanjian perdagangan bebas TPPA.

Terdahulu, Trump memberitahu senator-senator parti pemerintah, Parti Republikan bahawa beliau telah meminta wakil perdagangan AS, Robert Lighthizer dan penasihat ekonomi White House, Larry Kudlow untuk membuka semula rundingan TPPA.

Dalam komen di Twitter tersebut, Trump berkata, AS hanya akan menyertai TPPA jika perjanjian itu jauh lebih baik daripada yang ditawarkan kepada Pre­siden Barack Obama.

“Kami telah membuat perjanjian bilateral dengan enam daripada 11 negara anggota TPPA dan sedang berusaha membuat perjanjian dengan anggota terbesar­nya, Jepun,” kata Trump.

Sementara itu, pembuat dasar di rantau Asia Pasifik semalam ragu-ragu mengenai pengumuman awal Trump berhubung kemungkinan AS menyertai semula perjanjian perdagangan itu.

“Jika ia benar, saya mengalu-alukannya,” kata Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet semalam.

“Trump ialah orang yang boleh berubah bergantung kepada anginnya, jadi beliau boleh me­ngatakan sesuatu yang berbeza keesokan harinya,” kata Aso.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut ragu tentang AS menyertai semula pakatan tersebut.

“Jika AS terbukti benar-benar mahu menyertai semula TPPA, ia mencetuskan proses baharu,” katanya kepada wartawan di Auckland.

TPPA yang terdiri daripada 11 negara, dibentuk untuk memansuhkan sekatan perdagangan melibatkan kalangan negara yang ekonominya paling pesat berkembang di Asia Pasifik dan mena­ngani pengaruh ekonomi serta diplomatik China yang semakin meningkat.

Trump menarik diri daripada TPPA awal tahun 2017 kerana bimbang rakyat AS akan hilang pekerjaan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :