NASIONAL

ANGKASA: Tiangong-1 jatuh ke Lautan Pasifik

KUALA LUMPUR 3 APR: Stesen angkasa lepas China, Tiangong-1, akhirnya jatuh ke bumi pada jam 8.15 pagi (2 April) di selatan Lautan Pasifik.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad berkata, keseluruhan komponen dan struktur binaannya telah hancur dan hangus terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi.

“Tiada sebarang sepihan yang tinggal jatuh ke permukaan bumi dan tiada sebarang kerosakan serta kecederaan dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ramalan proses memasuki semula atmosfera Bumi dikeluarkan pada 30 Mac sehingga 2 April mendapati kadar penurunan altitud Tiangong-1 adalah rendah berbanding ramalan sebelum ini.

“Hal ini adalah kesan daripada aktiviti matahari yang lemah dan memberi kesan kepada cuaca angkasa dalam mempengaruhi daya geseran pada Tiangong-1 ketika ‘kemasukan semula’ itu.” katanya.

Beliau berkata ANGKASA akan mengambil langkah persediaan awal dan berterusan berkaitan langkah-langkah perlu dalam menghadapi kejadian sama pada masa hadapan.

Tiangong-1 sepanjang 10.4 meter itu dilancarkan pada tahun 2011 untuk melakukan misi berlabuh dan eksperimen di orbit sebagai sebahagian daripada program angkasa lepas China untuk menempatkan sebuah stesen angkasa lepas tetap di orbit Bumi menjelang 2023.

Diilaporkan, makmal angkasa lepas itu pada asalnya dirancang menamatkan operasi pada 2013 tetapi misinya berulang kali dilanjutkan.

China pernah menyatakan bahawa ‘kemasukan semula’ itu akan berlaku hujung tahun lalu tetapi proses itu tertangguh lagi, mengakibatkan sebilangan pakar membayangkan bahawa makmal angkasa lepas itu telah hilang kawalan.

Sementara itu, Agensi Angkasa Eropah sebelum ini, melaporkan, serpihan Tiangong-1 boleh jatuh di mana-mana lokasi yang terletak di antara New Zealand hingga ke bahagian Midwest di Amerika Syarikat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :