SELANGOR

Apa guna calon tempatan tetapi tiada sumbangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APR: Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49) tidak gentar berdepan lawannya daripada Barisan Nasional (BN) yang merupakan anak tempatan kawasan itu.

Shuhaimi Shafiei berkata, hal itu berdasarkan rekod cemerlang yang dipegang selama 10 tahun sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda sebelum ini.

“Apa guna kalau calon anak tempatan tetapi tidak pernah buat apa-apa.

“Duduk di kampung yang sama, tetapi tidak buat apa-apa. Kalau lihat kampung, lesu,” katanya ketika program minum petang bersama jentera dan penduduk Kampung Sungai Kandis, di sini.

Shuhaimi berkata, walaupun kawasan itu baru baginya, namun sejarah sejak 2009 membuktikan saluran mengundi di kampung itu memihak kepada PAKATAN.

“Sebab itu saya tidak takut, walaupun beliau dari kampung ini. Saya bukan mahu mendabik dada tetapi 10 tahun Sri Muda bersama saya, banyak yang dilakukan,” katanya.

Menyoroti tanggungjawabnya, Shuhaimi memaklumkan enam masjid sudah dan sedang dalam pembinaan.

Antaranya membabitkan masjid di Johan Setia yang tidak dibina BN sejak 28 tahun, siap di bawah PAKATAN, pada 2012.

“Begitu juga masjid di Taman Sri Muda, Masjid Abu Bakar, masjid di Putra Height dan Kota Kemuning, An Naim di Jalan Kebun serta Al Bakti di Bukit Naga.

“Saya juga bantu (pembinaan) masjid di kawasan lain seperti masjid di Dato’ Dagang, yang dahulunya di bawah ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar,” katanya.

 


Pengarang :