GLOBAL

Arab Saudi beri amaran tindak balas keras

RIYADH 17 APR: Tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi di Yaman, semalam memberi amaran ‘tindak balas menyakitkan’ jika ia melancarkan serangan baru ke atas negara itu menggunakan dron yang dibekalkan Iran.

Riyadh, minggu lalu berkata ia menembak jatuh dua dron di selatan Arab Saudi selain memintas peluru berpandu balistik yang dibedil dari wilayah dikuasai pemberontak di Yaman, terbaru dalam siri kejadian seumpama itu.

“Jika Houthi berterusan mensasarkan kemudahan industri atau kawasan penempatan, tindak balasnya keras dan menyakitkan,” kata jurucakap pasukan pakatan, Turki al-Malki, menunjukkan apa yang dikatakan serpihan dron yang dipintas.

Namun pemberontak tidak menghiraukan amaran itu apabila membedil peluru berpandu baru ke arah wilayah Najran lewat semalam, yang dipintas tentera udara Arab Saudi, lapor stesen televisyen Al-Ekhbariya TV.

Malki memberitahu wartawan di bandar raya Al-Khobar bahawa lapangan terbang di Sanaa yang ditawan pemberontak digunakan sebagai pangkalan tentera mengatur serangan dron.

Kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi, minggu lalu berkata dron itu dihasil di Iran, menambah tentera Yaman tidak memiliki pesawat seumpama itu dan ‘mustahil untuk menghasilkan ia di negara itu’.

Iran menyokong Houthi, yang merampas Sanaa pada 2014, memaksa tentera pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan menyerang pemberontak itu pada tahun berikutnya.

Namun Tehran berulang kali menafikan ia membekalkan senjata kepada Houthi, yang jelas melanggar embargo senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Yaman pada 2015.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :