SUKANKINI

ARRC: Uma Racing guna sistem wildcard, gilir pelumba

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 APR: Juara berpasukan Underbone 150cc, Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team menggunakan sistem penggiliran pelumba wildcard bagi mengharungi siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), minggu ini.

Ia membabitkan dua pelumba Malaysia, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairuez dalam melengkapkan pusingan kedua kejuaraan itu di Litar The Bend Motorsport Park, Australia.

Prinsipal pasukan, Yong Ying Hoe berkata, penggiliran pelumba dari Vietnam, Filipina dan Indonesia adalah sebagai inisiatif awal merealisasikan matlamat utama membentuk pasukan Asia berjaya pada tahun hadapan.

“Matlamat kami adalah mempromosikan kepelbagaian dalam perlumbaan di mana terdapat ramai pelumba muda di luar sana menantikan sumber dan peluang untuk membawa mereka ke peringkat serantau.

“Pada masa sama, kami berharap dapat membentuk sebuah pasukan terdiri dari pelumba muda berbakat dari Malaysia, Vietnam, Filipina dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, idea berkenaan masih di peringkat awal dan bagi tahun ini, pelumba wildcard itu juga sebenarnya dalam proses pemilihan untuk mengisi tempat di dalam pasukan pada masa akan datang.

Untuk tujuan itu, pelumba Filipina, McKinley Kyle Paz menjadi taruhan Uma Racing Yamaha Motor Asia Team di Australia, minggu ini selepas persembahan memberangsangkan sewaktu ujian pra-musim lalu.

Pada perlumbaan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, pasukan terbabit meletakkan pelumba Vietnam, Hyunh Minh Sang sebagai pelumba wildcard dan menamatkan saingan di tempat ke 10, namun mengalami masalah mekanikal jentera pada perlumbaan kedua.


Pengarang :