SUKANKINI

ARRC: West tidak beraksi, beri kelebihan kepada Azlan Shah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 APR: Azlan Shah Kamaruzaman mempunyai kelebihan apabila beberapa pelumba handalan termasuk pendahulu keseluruhan SuperSports 600cc, Anthony West, tidak beraksi pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di The Bend Motorsport Park, Australia, 20 hingga 22 April ini.

Pelumba negara mewakili Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu kini di kedudukan kedua keseluruhan dengan 32 mata iaitu 13 mata di belakang West.

“Di atas kertas, memang saya nampak mempunyai kelebihan tetapi minggu ini baru masuk pusingan kedua dan masih ada baki banyak perlumbaan lagi maka saya tidak melihat sebagai kelebihan sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri.

“Cuma saya perlu menggunakannya untuk mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan akan datang.

“Walaupun West dan beberapa pelumba lain tiada, namun cabaran hebat pasti datang dari pelumba Thailand serta rakan sepasukan saya sendiri juga pelumba wildcard tuan rumah,” jelas juara bertahan SuperSports 600cc itu.

Mengulas cabaran di litar baharu pertama kali berada dalam kalendar ARRC, beliau berkata, difahamkan ia baharu disiapkan manakala cuaca juga mungkin agak sejuk.

Katanya, pihaknya perlu mengumpul data dan mendapatkan pelarasan terbaik secepat mungkin kerana sesi pada hari pertama sangat penting buat pasukan.

“Laluan lurus panjang dan litar ‘high speed’ mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jentera Kawasaki dan saya berharap semuanya akan berjalan lancar nanti,” katanya.

West tidak beraksi di halaman sendiri pada minggu ini kerana menyertai Kejuaraan SuperSports Dunia manakala pelumba di kedudukan ketiga, Thitipong Warokorn pula hanya beraksi atas tiket wildcard sewaktu perlumbaan pusingan pertama di Thailand.

Juara keseluruhan 2016, Mohd Zaqhwan Zaidi juga tidak beraksi di Australia bagi memberi tumpuan perlumbaan Kejuaraan Seluruh Jepun.

=EZY=


Pengarang :