SUKANKINI

ARRC: Zaqhwan fokus perlumbaan seluruh Jepun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 APR: Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, akan memberi tumpuan kepada saingan Kejuaraan Seluruh Jepun di Litar Suzuka, pada 20 hingga 22 April ini.

Dengan keputusan itu, penunggang Musashi Boon Siew Honda Racing itu tidak turun beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Bend Motorsport Park, Australia, yang berlangsung serentak dengan kejohanan berkenaan.

Zaqhwan yang juga juara keseluruhan 2014 dan 2016 akan beraksi dalam kategori JSB1000 apabila dia menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ke-19 dan perlumbaan kedua di tempat ke-14 pada aksi pertamanya bersama jentera 1,000cc di Litar Twin Ring Motegi, 7 hingga 8 April lalu.

“Pengurusan pasukan membuat keputusan supaya saya beraksi di Jepun, jadi saya mengikut sahaja apa ditetapkan pasukan.

“Keutamaan kami memang kepada aksi jentera 1,000cc sebagai persediaan untuk musim depan namun tidak bermaksud kami mengetepikan cabaran ARRC.

“Walaupun hilang 50 mata di Australia minggu ini, ada baki empat pusingan dan lapan perlumbaan lagi untuk musim ini,” katanya yang kini berada di kedudukan ke 10 SuperSports 600cc ARRC dengan 14 mata.

Beliau berkata, apa diharapkan semoga rakan sepasukan, Tomoyoshi Koyama dan Azroy Hakeem Anuar, dapat meraih keputusan terbaik dalam SuperSports 600cc ARRC bagi mengekalkan persaingan untuk merampas kembali gelaran keseluruhan berpasukan yang terlepas pada musim lalu selepas memenanginya sejak 2012 lagi.

Mengenai perlumbaan di Jepun, katanya, ia perlumbaan mencabar kerana akan diberi saingan ramai pelumba handalan.

“Perlumbaan pertama dengan jentera 1,000cc bukan mudah tambahan berdepan ramai pelumba Jepun yang berpengalaman di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian diraih dan akan bekerja keras untuk mencatat keputusan lebih baik,” katanya.

=EZY=


Pengarang :