PBTSELANGOR

Aset utiliti punca kelewatan naik taraf Bulatan Kota Anggerik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan kelewatan kerja menaik taraf Bulatan Kota Anggerik berpunca daripada masalah kontraktor sebaliknya ia melibatkan aset beberapa syarikat utiliti yang perlu dialihkan.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA, Ir Cheremi Tarman berkata, antara syarikat utiliti terlibat adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan beberapa syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, pada perancangan awal pihaknya menjangkakan tidak banyak kerja-kerja pengalihan utiliti yang perlu dilakukan tetapi selepas disemak ia melibatkan hampir tujuh buah syarikat.

“SYABAS mempunyai aset utiliti paling tinggi selain TNB, dan syarikat telekomunikasi. Minggu lalu, TNB mengesahkan kabel bawah tanah mereka tidak perlu dialihkan kerana ia berada dalam kedalaman yang tidak mengganggu kerja-kerja projek,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, semua syarikat utiliti diminta untuk mengemukakan kos diperlukan untuk kerja-kerja pengalihan dan MBSA akan mengemukakan laporan penuh kepada jawatankuasa jika memerlukan sebarang peruntukan tambahan.

Katanya, kontraktor bertanggungjawab sudah bersedia untuk masuk ke tapak bagi memulakan kerja pembinaan.

Cheremi berkata, kerja pengalihan aset utiliti ini dijangka akan mengakibatkan kelewatan sekitar lima bulan.

“Saya minta syarikat utiliti masuk segera supaya kerja pengalihan dapat dilakukan segera dan kontraktor boleh masuk ke kawasan tidak kritikal terlebih dahulu bagi mempercepatkan proses kerja dimulakan,” katanya.

Tempoh projek Fasa Satu kerja menaik taraf Bulatan Kota Kemuning yang melibatkan Persimpangan Persiaran Aggerik Villa dan Anggerik Mokara bermula dari 1 September 2017 sehingga 1 September 2018 melibatkan pelebaran bulatan serta pemasangan lampu isyarat.

=EZY=


Pengarang :