SELANGOR

Azmin: Jauhi pimpinan parti positif dadah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Pemimpin yang baik seharusnya mempamerkan kredibiliti pimpinan terbaik dan bukannya mengamalkan gaya hidup negatif yang boleh mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap seseorang pemimpin itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat kini sudah semakin bijak menilai pimpinan yang benar-benar bertanggungjawab dan boleh mentadbir urus sesebuah kerajaan dengan baik.

“Saya kira rakyat dapat menilai. Sebagai pemimpin dalam masyarakat, kita harus memberikan khidmat dan contoh teladan yang baik.

“Namun, kes ini masih dalam siasatan dan biar pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Jambatan Batu Arang, Batang Berjuntai, petang ini.

Sebelumnya, Mohamed Azmin diminta mengulas laporan media yang mendedahkan penahanan Ketua Umno Bahagian yang ditahan polis kerana positif dadah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan, seorang Ketua Umno Bahagian Kuala Lumpur ditangkap semalam selepas didapati positif dadah, lapor Free Malaysia Today.

Pimpinan Umno bergelar Datuk itu ditahan dalam satu operasi polis bersama SPRM di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi kira-kira 2 pagi Isnin.

=EZY=


Pengarang :