NASIONAL

Azmin: PAKATAN praktik politik nilai, tolak budaya fitnah dan kotor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak mengamalkan budaya politik fitnah dan kotor sebagaimana teras ketelusan dan pentadbiran bersih yang dipegang gabungan itu.

Calon P0.98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sentimen negatif itu sama sekali tidak dipraktikkan dalam amalan berpolitik calon mereka khususnya di Selangor.

Beliau menegaskan, keperluan itu seiring tuntutan rakyat yang mahukan legasi kepimpinan telus yang sudah dilaksanakan pimpinan PAKATAN negeri, sejak dua penggal lalu.

“Rakyat menolak politik sempit, amalan maki hamun dan fitnah kerana mereka mahukan amalan politik nilai yang dapat membangunkan bangsa dan memakmurkan negeri.

“Ini sebenarnya sudah dipraktikkan calon PAKATAN dan ia menjadi teras serta dasar utama Kerajaan Selangor.

“Kita sudah membuktikannya menerusi muafakat sebuah pentadbiran yang cukup baik kepada rakyat sehingga kini,” katanya.

Untuk rekod, pentadbiran Selangor menjadi rujukan terbaik kepada permuafakatan amalan pentadbiran ketika berlakunya perubahan sentimen politik di peringkat Nasional.

Ia dibuktikan menerusi penyatuan gabungan pimpinan negeri yang terus dikekalkan berdasarkan kepercayaan mandat diberi rakyat pada pilihan raya lalu.

Mohamed Azmin berkata, tanpa wujudnya perpecahan, Selangor terus dibangunkan dan kekal menjadi sebuah negeri maju di negara ini.

“Lebih manis Selangor terus menjadi negeri yang menyumbang kepada KDNK (Keluaran Negara Kasar) tertinggi negara bagi tempoh tahun-tahun terkini dan sebelumnya,” katanya.

Sementara itu di peringkat nasional, amalan politik kotor terus dimainkan pihak tertentu dengan pelbagai dakwaan tidak benar dilemparkan kepada pimpinan Selangor.

Lebih memalukan, pihak terbabit turut menggunakan medium media kawalan mereka untuk memanipulasi keadaan sebenar di negeri berkebajikan itu.

Namun kata Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar itu, rakyat kini bijak menilai agenda propaganda politik yang dimainkan pihak tertentu.

Beliau percaya, sebarang adu domba berkenaan tidak mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.

Terdahulu, Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir menyerahkan borang pencalonan P0.98 Parlimen Gombak, di Pusat Penamaan Calon Sungai Pusu, semalam.

=EZY=


Pengarang :