SELANGOR

Azmin: “Satu, dua kerusi sahaja masih dalam perbincangan”

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 APR: Pembahagian kerusi antara parti Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengerusi PAKATAN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan itu akan mengambil masa lagi dalam sehari, dua ini.

“Ada satu-dua yang masih dalam proses perbincangan dan perbincangan ini berlaku setiap hari sekarang ini.

“Diharap mungkin dalam satu atau dua hari ini kita akan dapat memuktamadkan pengagihan tersebut,” kata Dato’ Menteri Besar itu kepada SelangorKini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Jelasnya, setakat ini perbincangan antara parti terlibat berjalan dalam suasana muafakat dengan memberikan keutamaan terhadap kepentingan perjuangan menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, anggota MPP KEADILAN menghadiri mesyuarat bagi membincangkan pelbagai isu, khususnya melibatkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Selain Mohamed Azmin, antara yang dilihat memasuki bangunan Ibu Pejabat KEADILAN termasuklah, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ramai lagi.

=EZY=


Pengarang :