BERITA UTAMASELANGOR

Azmin seru penyokong turun penamaan calon 28 April ini

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 27 APR: Penyandang kerusi P98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru penyokong beramai-ramai untuk bersamanya pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Sabtu ini.

Menurutnya, beliau akan berkumpul di Dataran Sungai Cincin pada jam 7.30 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sungai Pusu, setengah jam kemudian.

Katanya, pengundi juga perlu keluar awal pada hari pembuangan undi pada 9 Mei bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Setiap individu Gombak ada maruah dan integriti. Kita berhimpun dengan satu tekad menyelamatkan negara, umat Islam dan generasi muda.

“Saya hanya minta 7 pagi sudah berada di pusat pembuangan undi kerana penipuan kali ini memang luar biasa.

“Kalau tuan-tuan datang pukul 10, saya bimbang kad pengenalan tuan-tuan sudah digunakan orang lain. Kemungkinan ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelancaran Relawan Gombak Kita Setia yang berlangsung di Dataran Greenwood, semalam.

Katanya, rekod cemerlang ditunjukkan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Parlimen Gombak membuktikan gagasan itu mampu menterjemah bentuk kepimpinan yang baik walaupun satu ketika dahulu ia adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dulu ini kubu Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, Dato’ Saidin Thamby, Almarhum Fuad Hassan, Ahmad Bujang ini tokoh besar Umno. Umno dahulu bukan seperti sekarang.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman dahulu sanggup kayuh basikal keluar masuk kampung. Dia Perdana Menteri dan Presiden UMNO juga tapi sekarang Perdana Menteri bukan kayuh basikal tetapi kapal layar Equanimity,” katanya.

Beliau berkata, banyak perubahan berlaku di kawasan Gombak khususnya mengenai pembangunan institusi Islam di sini dengan pembinaan lima buat masjid sekitar RM100 juta.

Lima buah masjid yang siap dan masih dalam pembinaan adalah Masjid Zakaria Gombak Utara, Masjid Tun Teja Rawang, Masjid Ukay Perdana, Masjid Darul Ehsan Taman TAR serta Masjid Kampung Klang.


Pengarang :