SELANGOR

Azwan Ali? Siapa pun boleh bertanding – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 APR: Penyandang P0.98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, terbuka berdepan mana-mana individu yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen ditandingi beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, ia termasuk adik beliau sendiri, Azwan Ali, yang juga selebriti tanah air.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar itu menegaskan, ia sebagai sebahagian daripada prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang perlu diamalkan setiap anggota masyarakat, di negara ini.

“Kita sebuah negara demokrasi dan saya tidak boleh menghalang,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon P0.98, pagi ini.

Azwan Ali dilapor turut menyerahkan borang penamaan calon dan bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandang Mohamed Azmin, pada PRU lalu.

Mohamed Azmin juga turut bertanding bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa, pada PRU14.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir menyerahkan borang permohonan pencalonan P0.98 Parlimen Gombak l, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini.

Borang pencalonan diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen P0.98, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, jam 9.02 pagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden KEADILAN yang lengkap berbaju Melayu biru muda itu tiba di pusat penamaan calon diiringi lebih 5,000 penyokong parti berkenaan, jam 8.45 pagi ini.

Kehadiran Mohamed Azmin turut disambut dengan laungan Reformasi penyokong Pakatan Harapan (PAKATAN).

=EZY

 


Pengarang :