SELANGOR

Bantuan diteruskan bukan kerana 9 Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu rakyat Selangor tidak salah faham terhadap program penyerahan bantuan menerusi program turun padangnya bersama pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini berfungsi sebagai ‘caretaker goverment’ (kerajaan sementara) dan tidak boleh meluluskan sebarang bentuk kelulusan baru.

Katanya, program bantuan dilaksanakan itu sudah mendapat kelulusan sebelum ini dan menjadi rutin sejak sekian lama.

“Kami sentiasa menyantuni rakyat dan membantu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat bagi meringankan bebas kos sara hidup.

“Ini bukan program bermusim semata-mata, ada perkara yang akan berlaku pada 9 Mei ini tetapi ia adalah usaha berterusan sepanjang masa.

“Kerajaan Negeri sama ada peringkat eksekutif atau bukan eksekutif sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat, di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat.

Mohamed Azmin berkata, usaha membantu rakyat itu terus dilaksanakan bagi menukar persepsi bahawa pimpinan bukan semata duduk di pejabat berhawa dingin.

“Walaupun berfungsi sebagai ‘caretaker goverment’, kami tidak dibenarkan meluluskan sebarang bentuk projek, tender dan kewangan baru.

“Kita tidak mahu salah guna kuasa berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.


Pengarang :