BERITA UTAMASELANGOR

Baru sekarang Umno-BN mahu jadi hero air Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 15 APR: Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) berpeluang menyelesaikan isu penstrukturan air negeri bagi tempoh lebih 50 terdahulu ketika memegang tampuk kepimpinan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh itu parti berkenaan tidak komited menyelesaikan kemelut itu.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Umno di Selangor sebelum ini sewenangnya menswastakan isu penstrukturan air negeri yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung liabiliti tinggi.

“Mereka telah tandatangani perjanjian bersama syarikat konsesi yang juga kroni Umno dan membolehkan tiga syarikat itu menaikan kadar tarif air bagi tempoh tiga tahun sesuka hati.

“Sebab itu apabila kita menang pada 2008, kita batalkan syarikat konsesi ini kerana ia akan terus membebankan rakyat.

“Semenjak 2009, Pakatan tidak benarkan kadar air ditingkatkan. Kalau kita ikut cara Umno seperti yang telah termeterai dalam perjanjian, rakyat akan terpaksa membayar RM3.19 sen bagi setiap 1000 liter penggunaan air,” katanya.

Justeru kata Mohamed Azmin, pentadbiran Putrajaya dan Umno Barisan Nasional tidak perlu memanipulasi fakta tanpa merujuk perjanjian sebenar yang diputuskan pentadbiran parti itu, sebelum ini.

Sebaliknya beliau menegaskan, pentadbiran Pakatan kekal optimis mendahului dasar dan inisiatif baru yang membolehkan kemelut berkenaan dimuktamadkan sebagai jaminan kebajikan rakyat.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Dato’ Menteri Besar di Ampang Tambahan, semalam.

=EZY=


Pengarang :