SELANGOR

Bas percuma gembirakan penduduk Kuala Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 23 APR: Pelaksanaan perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor, di daerah itu cukup menggembirakan penduduknya.

Kebanyakannya menyifatkan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan itu membuktikan mereka prihatin terhadap keluh kesah rakyat.

Pekerja swasta, Zaiful Shahudin, 35, berkata pelaksanaan perkhidmatan bas percuma itu tepat, pada masanya ketika harga minyak tidak stabil.

“Ia sekali gus mereformasikan pengangkutan awam yang sekian lama dihadapi.

“Bagi saya, bukan sahaja perkhidmatan bas percuma tetapi semua inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sangat membantu dan rakyat perlu menyokongnya,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, suri rumah, S Ambigapathi, 32, berterima kasih atas usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan percuma berkenaan.

“Perkhidmatan ini dapat menjimatkan wang penduduk dan keselamatan pengguna juga terjamin kerana bas yang disediakan sangat selesa untuk setiap golongan,” katanya yang tinggal di Batang Berjuntai.

Pengguna, Halisah Mohd Mansor, 42, berkata perkhidmatan bas di kawasan itu sedikit terhad dan menyukarkan mereka untuk pergi ke satu-satu destinasi dalam waktu yang dirancang.

Beliau berharap laluan di kawasan itu dapat diperluaskan dari masa ke masa.

Ketika ini, sebanyak dua laluan diperkenalkan antaranya laluan Kuala Selangor ke Sekinchan dan Puncak Alam ke MRT Sungai Buloh.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor kini mencapai 10 juta pengguna di semua Pihak Berkuasa Tempatan, sejak dilaksanakan, pada 2015.


Pengarang :