Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
NASIONAL

Bekas menteri kewangan kritik kecualikan GST untuk ECRL

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 APR: Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mempertikaikan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion itu.

Daim berkata, alasan dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menyatakan pengecualian itu akan memastikan kos pembinaan tidak melebihi anggaran RM55 bilion tidak boleh diterima.

“Jika itu alasannya, rakyat turut menderita dengan kos yang tinggi disebabkan GST.

“Adalah ini bermakna jika kos projek itu tanpa GST ialah RM55 bilion, maka kerajaan memberi bayangan kos itu sebenarnya lebih tinggi,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Tambahnya lagi, penjelasan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy mempertahankan keputusannya memberi pengecualian cukai itu sebab ia dalah projek kerajaan turut dirasakan tidak wajar.

Terdahulu, Subromaniam mengeluar kenyataan antara faktor ECRL dikecualikan GST adalah projek antara Kerajaan-Kepada-Kerajaan yang mana ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

=EZY=

 


Pengarang :