NASIONAL

Bela Melayu hanya propaganda politik Umno

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 APR: Dakwaan Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) akan mempertahankan kepentingan Melayu adalah propaganda menagih sokongan, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian bagi mengulas keengganan Kerajaan Umn0-BN mengembalikan keperluan perkenan Yang Di-Pertuan Agong sebelum sesuatu rang undang-undang menjadi akta.

“Saya amat terkejut dengan pendirian Umno dalam isu ini.

“Ia membuktikan bahawa dakwaan Umno mempertahan institusi Raja-Raja Melayu dan kepentingan Melayu hanyalah propaganda semata-mata untuk meraih sokongan Melayu terhadap Umno-BN,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata demikian ekoran jawapan bertulis Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam Parlimen lalu berkata, Kerajaan Persekutuan belum bercadang mengembalikan keperluan perkenan Yang Di-Pertuan Agong dalam penggubalan sesuatu akta selain menjelaskan bahawa ia memerlukan kajian yang terperinci dan mendalam.

Azalina berkata demikian sebagai menjawab soalan yang Anggota Parlimen Padang Serai N Surendran berhubung sama ada kerajaan bercadang meminda Klausa 4(a) Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, perlembagaan sedia ada yang tidak memerlukan perkenan Diraja mengakibatkan salah guna kuasa oleh BN terutama dalam pewartaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang tersebut perlu diperhalusi. MKN telah diwartakan tanpa menerima perkenan Yang DiPertuan Agong,” jelasnya.

Awal tahun ini, Anwar memfailkan tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Persekutuan untuk memulangkan keperluan mandatori bagi perkenan Diraja.

“Saya berasa jijik mendengar kemunafikan pihak yang berkata kononnya merekalah yang mempertahan Institusi Raja-Raja, tetapi kerajaan Umno-BN melawan tindakan mahkamah yang saya mulakan ini.

“Perkenan dDraja amatlah penting dalam menjamin keseimbangan di antara pihak eksekutif, legislatif dan Raja-Raja dalam meluluskan undang-undang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :