BERITA UTAMASELANGOR

Beli rumah PKNS, dapat khidmat wasiat percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dengan menawarkan perkhidmatan wasiat percuma kepada pegawai perbadanan itu.

Pengerusi MAIS, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi berkata, kerjasama rakan strategik itu juga dijalankan bagi meningkatkan martabat ilmu pengurusan harta setempat.

“Pemeteraian MOU ini akan membolehkan MAIS menawarkan perkhidmatan kepada seluruh kakitangan PKNS.

“MOU ini juga akan menyaksikan pembeli projek perumahan PKNS menikmati pelantikan wasiat secara percuma dan perkhidmatan lain sekiranya membeli hartanah milik PKNS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MOU membabitkan kedua-dua agensi negeri itu, di SACC Convention Centre, petang ini.

MOU berkenaan ditandatangani Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dr Noraida Mohd Yusof yang turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau berkata, komitmen itu juga diharap dapat memudahkan masyarakat mendapatkan askes pengurusan harta berteraskan konsep syariah.

“Semoga kerjasama ini juga mampu memperlebar kefahaman umum terhadap kepentingan aspek pengurusan hartanah dan harta dengan cara betul berlandaskan syariah Islam.

“Diharap juga, kerjasama ini diperluas dan ditambah baik untuk dimanfaatkan secara berpanjangan untuk kepentingan umum,” katanya.

=EZY=


Pengarang :