PBTSELANGOR

Beri maklum balas Rancangan Tempatan MPKj 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 APR: Orang ramai digalak memberi maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2035 (Penggantian) yang mula dilancarkan, pada hari ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, pandangan boleh dibuat melalui pelbagai medium seperti memuat turun aplikasi RTMPKj2035 di telefon pintar yang boleh didapati di Google Playstore.

“Jika mempunyai bantahan, cadangan dan pandangan, ia boleh dipanjangkan kepada MPKj dengan mengisi borang bantahan awam yang disediakan di kaunter pemeriksaan serta aplikasi RTMPKJ2035 juga boleh dihantar melalui serahan tangan, pos, faks atau emel ke [email protected].

“Hebahan berkenaan program publisiti ini juga diuar-uarkan melalui notis akhbar, laman sesawang MPKj, Plan Malaysia dan Plan Malaysia @ Selangor. Majlis juga menyediakan banner, poster dan bunting yang dipasang di seluruh kawasan MPKj,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPKj 2035 (Penggantian), di sini.

Melalui program itu, diadakan pameran berkenaan RT MPKj 2035 yang berlangsung sebulan bermula hari ini hingga 4 Mei 2018, manakala kaunter pemeriksaan akan dibuka setiap hari bekerja, pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Mohd Sayuthi berkata, orang ramai boleh membuat semakan di aplikasi RTMPKj2035 dan kaunter pemeriksaan di lobi MPKj dan Plan Malaysia @ Selangor (JPBD Selangor), Tingkat 16, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

“Diharapkan orang awam seperti pemilik tanah, pemaju hartanah, golongan profesional dan organisasi bukan kerajaan (NGO) membabitkan diri dalam memberikan pandangan serta maklum balas terhadap cadangan MPKj,” katanya.

 


Pengarang :