SELANGOR

Beri peluang PAKATAN terajui perubahan demi masa depan negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N 49), Shuhaimi Shafiei mahu Pakatan Harapan (PAKATAN) terus diberikan peluang untuk melaksanakan perubahan bagi semua penduduk DUN terbabit.

Beliau berkata wakil rakyat yang terbaik sememangnya menjadi ejen perubahan kepada penduduk.

“Saya harap agar terus diberikan peluang untuk bersama penduduk Sungai Kandis dalam melakukan perubahan demi masa depan Selangor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Shuhaimi turut menzahirkan rasa terharu apabila melihat sokongan ribuan penyokong yang tidak berbelah bagi kepadanya.

Beliau berkata penyokong PAKATAN itu muncul sejak awal pagi mengiringinya ke pusat penamaan calon di Dewan Kemuning Utama.

“Alhamdulillah, saya disahkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon Pakatan Harapan untuk kerusi N49 Sungai Kandis.

“Saya amat terharu dengan sokongan ribuan penyokong yang muncul sejak awal awal pagi untuk berarak ke pusat penamaan calon,” katanya.

Shuhaimi berkata pencalonan itu dicadangkan rakan seperjuangannya, Azwan Mat Amid dan disokong oleh Hazlina Abdul Razak.

“Saya berdoa agar Allah SWT akan terus memberkati usaha murni kita di sini untuk menegakkan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban serta menjadi agen perubahan bagi rakyat N49 Sungai Kandis,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Bilik Gerakan Utama (BGU) Sungai Kandis sudah memulakan operasinya sejak beberapa hari lepas.

“BGU ini terletak di No 49, Jalan B/34B, Off Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Shah Alam dan akan dibuka kepada sukarelawan parti setiap hari.

“BGU ini akan menjadi pusat aktiviti utama bagi menyelaraskan jadual kempen saya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :