NASIONAL

“Berilah peluang dacing bersara”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Pengundi disarankan memberi peluang kepada parti yang menggunakan lambang dacing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini bersara sebagai parti peneraju Kerajaan Persekutuan.

Calon kerusi Parlimen P.107 Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata, parti peneraju Kerajaan Persekutuan sedia ada perlu digantikan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi mengelakkan ekonomi negara bertambah parah.

“Kita beri peluang ‘dacing’ bersara, dia dah terlalu lama dah,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 penyokong PAKATAN sejurus selesai penamaan calon bagi kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen Sungai Buloh di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara di sini, hari ini.

Ketika ditemui SelangorKini, beliau berkata, peluang PAKATAN untuk menang pada pilihan raya kali ini lebih cerah memandangkan sokongan yang diterima semakin meningkat.

Katanya, bahang penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang menggunakan logo dacing semakin dirasai dikebanyakkan tempat termasuk di kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Bukan itu sahaja, sambutan penamaan calon juga nampak begitu bersemangat sekali, ramai yang datang memberikan sokongan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :