NASIONAL

BERSIH 2.0 tuntut undi pos telus, dipantau agen calon

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 APR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 menuntut proses pengeluaran undi pos dijalankan secara telus dan dipantau agen calon.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, perkara itu perlu diberi perhatian semua terutama calon dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bagi memastikan agen mereka hadir menjalankan pemantauannya.

“Jika calon tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai pengeluaran pengundian pos, mereka diminta menghubungi Pegawai Pengurus (RO) di kawasan masing-masing dengan segera.

“Selain itu, calon harus menuntut senarai rasmi pengundi pos bagi kawasan pilihan raya mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan BERSIH 2.0 itu dikeluarkan ekoran pemakluman berhubung proses pengeluaran undi pos sudah dilakukan di beberapa pusat mengundi mulai hari ini.

Jawatankuasa itu turut menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengumumkan secara terbuka jumlah pengundi pos domestik dan luar negara bagi setiap kawasan kerana setakat ini tiada sebarang pengumuman atau maklumat mengenainya.

Katanya, BERSIH 2.0 menganggarkan terdapat lebih 250,000 pengundi pos domestik yang bakal memberi kesan signifikan terhadap keputusan pilihan raya.

“Kekurangan ketelusan oleh SPR berhubung jumlah pengundi pos menimbulkan kebimbangan serius terhadap perkara ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pengundian pos, boleh menghubungi BERSIH 2.0 melalui emel: [email protected] atau talian 011 2860 5720.


Pengarang :