NASIONAL

BN ‘kantoi’ mengaku kawal harga petrol

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 APR: Barisan Nasional (BN) dipercayai ‘kantoi’ selepas kenyataan menangguhkan sementara kenaikan harga petrol di Berita Harian (BH) ditarik semula.

Berita yang bertajuk ‘Kerajaan tangguh sementara kenaikan harga minyak’ itu dikeluarkan BH online semalam, pada jam 7.08 malam.

Namun, beberapa jam kemudian berita itu ditarik semula termasuk dari laman facebook dan twitter rasmi BH.

Bagaimanapun, ada netizen yang sempat memuat naik gambar berita itu sebelum dipadam sepenuhnya admin BH.

Melalui kenyataan BH itu, Ketua UMNO Bahagian Titwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kenaikan harga minyak di pasaran tempatan walaupun terpaksa berdepan tekanan peningkatan ketara harga minyak global.

Katanya, keputusan itu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil kira tekanan dihadapi rakyat.

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra dan minum petang bersama penduduk PPR Cochrane, semalam.

Pengguna twitter dikenali sebagai Khairi melalui tweetnya mempertikai tindakan BN yang mendakwa boleh mengawal harga minyak.

“Maksudnya boleh tangguh sementara PRU?” katanya.

Bagi pengguna bernama Forn pula kecewa kerana sebelum ini BN mengaku tidak boleh mengawal kenaikan harga petrol dalam tempoh lima tahun.

“Tetapi sekarang boleh pula mereka kawal, nampak sangat pembohong,” tulisnya di laman twitter.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan RON95 dijual pada harga RM2.20 seliter dan RON97 pula RM2.47 seliter.

Harga jualan runcit diesel pula masih RM2.18 seliter.

Pengekalan harga itu dipercayai berlaku ketika rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengekalan harga itu membuktikan kerajaan boleh mengembalikan subsidi bahan bakar tersebut.

“Pengekalan harga petrol dan diesel juga membuktikan harga bahan api itu boleh distabilkan.

“Kerajaan baru PAKATAN akan menstabilkan harga petrol dan diesel serta memperkenalkan semula subsidi secara bersasar dalam 100 hari pertama pentadbiran kami.

“Ini sejajar dengan teras utama pentadbiran PAKATAN iaitu meringankan bebanan kehidupan rakyat,” katanya.


Pengarang :