SELANGOR

BN mahu tawan Selangor? Rakyat tak lupa skandal Khir Toyo

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 APR: Rakyat Selangor tidak melupakan skandal berlaku ketika pentadbiran Umno Barisan Nasional (BN) semasa memegang tampuk kepimpinan negeri itu, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Ng Suee Lim.

Beliau berkata, korupsi di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo membuktikan parti itu tidak boleh diberi kepercayaan mengurus kemajuan Selangor.

“Pelbagai skandal berlaku dengan berleluasa ketika zaman Barisan Nasional mentadbir Selangor dulu sebelum 2008.

“Rakyat yang bijaksana dan cerdik sudah masak dengan perkembangan politik semasa. Mereka tidak akan lupa dengan segala kepincangan dan kebobrokan dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Suee Lim berkata demikian sebagai mengulas ‘rayuan’ Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan agar rakyat memberi mandat kepada Pembangkang Selangor untuk mentadbir negeri itu.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Negeri (Sekinchan) berkata, rakyat kini lebih sedar sejauh mana komitmen Pakatan mengangkat martabat rakyat.

Katanya, ia dibuktikan menerusi pelaksanaan dasar baru, Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang memfokuskan kepada hala tuju pembangunan kebajikan rakyat.

“Rakyat sekarang berada selesa dan bahagia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Sudah terlalu banyak program kebajikan dan bantuan menerusi IPR yang disalurkan kepada rakyat, dan keadaan ini tidak berlaku waktu zaman BN dulu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :