SELANGOR

Boling cara MBSA tingkat kerjasama pasukan antara jabatan

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 6 APR: Kelab Rekreasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Kejohanan Ten Pin Boling antara jabatan di Setia City Mall Shah Alam, pada 24 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya sebagai landasan untuk kakitangan MBSA bekerjasama dalam pasukan secara maksima.

“Inisiatif MBSA ini mengeratkan silaturahim dan ukhuwah antara kakitangan jabatan dalaman MBSA serta memberi pendedahan berkenaan daya saing secara sihat untuk mencapai kejayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, pertandingan ini dapat mengenalpasti bakat baru dalam kalangan kakitangan untuk mewakili MBSA dalam sukan boling di peringkat lebih tinggi.

Sekurang-kurangnya 25 pasukan dari pelbagai jabatan menyertai pertandingan itu dengan Pasukan Jabatan Penilaian B berjaya memenangi tempat pertama sekali gus membawa pulang RM700.

Sementara, tempat kedua dimenangi Jabatan Penguatkuasaan A (RM 350) dan tempat ketiga milik Jabatan Bangunan (RM 200).

Hadiah disampaikan Presiden Kelab Rekreasi MBSA, Hanif Basree Abdul Rahman.


Pengarang :