PENDIDIKANSELANGOR

Budaya membaca lahir generasi berjaya

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 24 APR: Kira-kira 1,000 murid dari pelbagai sekolah seluruh negeri menyertai program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit’, di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini, hari ini.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad berkata, program itu bertujuan membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh singkat.

Katanya, sebanyak 102 perpustakaan seluruh Selangor turut terbabit dalam aktiviti itu.

“Konsep Jom Baca Bersama ini adalah idea dari hari Earth Hour dengan masyarakat berhenti seketika membaca buku selama 10 minit.

“Tahun lalu sahaja seramai 835,000 orang terbabit dalam program ini,” katanya.

Majlis disempurnakan isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

Sementara itu, Shamshida berkata, program itu mampu memberi manfaat kepada semua golongan kerana ia bukan sahaja menggalakkan membaca tetapi turut menambah pengetahuan.

“Program galakan membaca 10 minit ini hanyalah pencetus atau pembakar semangat kepada anda untuk terus menyemarakkannya sebagai amalan harian dan meneruskannya secara konsisten.” katanya.

Program yang mula dilaksanakan, pada 2014 itu dijalankan serentak di seluruh negeri mengikut cadangan tarikh ditetapkan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM).


Pengarang :