BERITA UTAMASELANGOR

Bukan hanya Gombak, Azmin tumpu kemenangan DUN Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Bukan hanya di Gombak atau Bukit Antarabangsa, penyandang kedua-dua kerusi itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan keyakinan tinggi kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh dicapai di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, kemenangan itu juga bakal menyaksikan PAKATAN terus kekal menerajui kepimpinan tertinggi Selangor selepas tempoh Pilihan Raya Umum (PRU14), tamat.

Justeru katanya, gerak-kerja pentadbiran negeri dan calon-calon gabungan itu akan terus dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen dan sepanjang masa.

“Saya akan memberikan sepenuhnya khidmat bakti dan gerak kerja saya dan pasukan untuk pastikan kemenangan itu dapat dicapai.

“Ia bukan hanya di kawasan tertentu, tetapi di seluruh Selangor dalam usaha saya untuk membantu calon-calon PAKATAN yang bertanding,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di Seri Gombak petang ini.

PRU 14 kali ini menyaksikan PAKATAN tampil mengetengahkan calon-calon muda bagi membantu jentera pilihanraya gabungan itu.

Antaranya Calon N17. Gombak Setia, Hilman Idham dan N40. Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Hilman Idham

Kedua-dua pemimpin itu berpengalaman luas dalam membantu urusan pentadbiran negeri dan jentera parti di peringkat akar umbi.

Selain itu, PAKATAN juga turut menampilkan calon-calon lama yang dilhat berpotensi untuk mengekalkan kerusi masing-masing.

Antaranya barisan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong, Amiruddin Shari, Dr Daroyah Alwi dan Dato’ Teng Chang Khim.

=EZY=


Pengarang :