NASIONAL

Calon PRU-14 KEADILAN bakal diumum Presiden

OLEH HAFIZAN TAIB

ALOR SETAR, 22 APR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan senarai calon KEADILAN untuk pilihan raya umum ke 14 (PRU14) akan diumumkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, parti itu kini dalam proses menyenarai calon untuk bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“KEADILAN hampir memuktamadkan senarai calon di mana saya dan Presiden dalam beberapa sesi perbincangan menilainya untuk dikemukakan.

“Memang menjadi tradisi kita akan memilih satu tarikh sesuai untuk Presiden mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, pengagihan kerusi antara parti dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) telah diputuskan dan tidak berdepan masalah kerana mempunyai ramai tokoh muda serta berpengalaman untuk dikemukakan kepada rakyat.

“Cuma bagi KEADILAN, kita memerlukan sedikit masa kerana ini juga adalah perancangan kita untuk Presiden mengumumkannya pada tarikh ditetapkan nanti,” katanya.

=EZY=


Pengarang :