NASIONAL

Calon PRU-14 Wanita PAKATAN meningkat, angkat martabat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 APR: Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) menegaskan calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) meningkat 22 peratus berbanding PRU13 yang lalu hanya 16 peratus.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia merupakan satu peningkatan yang positif bagi sebuah gabungan parti yang begitu muda berbanding Barisan Nasional (BN) yang telah ditubuhkan hampir 60 tahun lalu.

“Perjuangan wanita Pakatan adalah bersifat berterusan dan kita telah berjaya meruntuhkan tembok patriaki dan stereotaip gender yang telah lama dibina oleh Barisan Nasional selama ini.

“Banyak yang berjaya dikecapi wanita dibawah dua negeri pentadbiran pakatan iaitu Selangor dan Pulau Pinang apabila martabat mereka diangkat dari pelbagai bidang antaranya menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri selain dilantik sebagai pengurus besar salah sebuah GLC milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, jika Pakatan Harapan memenangi PRU14, Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut akan dipilih dari kalangan wanita dan perkara ini telahpun dipersetujui oleh semua parti gabungan Pakatan Harapan.

“Untuk kepentingan wanita Malaysia, memilih Pakatan Harapan adalah satu tindakan yang paling wajar.

“Perjuangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita dalam Pilihanraya Umum Ke-14 kali ini bukanlah satu perkara yang mudah. Dalam memilih calon, pelbagai perkara perlu diambil kira dan sudah semestinya kebolehupayaan dan kesediaan untuk memberi khidmat kepada rakyat adalah menjadi syarat utama,” katanya.

Katanya, kenyataan itu dibuat bagi menolak dakwaaan laporan beberapa akhbar tempatan milik BN yang megandaikan pakatan gagal kerana kuota 30 peratus wanita sebagai calon pilihanraya tidak dapat dicapai.

“Terus terang saya katakan, Tan Sri Shahrizat Jalil yang mendakwa BN akan mencapai 30 peratus calon wanita dalam PRU-14 akan datang juga adalah satu penipuan yang nyata.

“Tiba masa penamaan calon nanti, sudah pasti peratusan itu tidak dapat dicapai dan BN tetap akan melupakan pemimpin wanita seperti yang kita lihat sekarang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :