SELANGOR

‘Caretaker government’ sehingga pembentukan kerajaan baru

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 APR: Pentadbiran Kerajaan Negeri mulai hari ini berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baru dibentuk, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri yang menggariskan situasi, fungsi dan limitasi sebagai kerajaan sementara.

“Ini adalah sebahagian daripada prinsip tatakelola baik bagi menjamin kuasa tidak disalahgunakan,” katanya pada sidang media pembubaran Dewan Negeri Selangor, di Foyer SUK, di sini.

Mohamed Azmin berkata, sokongan padu dan kepercayaan tinggi rakyat menjadi teras utama ke arah memacu kestabilan sesebuah Kerajaan Negeri.

Katanya, beliau bersama Exco Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya membangun negeri dan membela serta memelihara hak rakyat.

“Justeru, ia memberi rangsangan terhadap pelaksanaan dasar progresif, inovatif dan peduli demi mengangkat darjat rakyat, selain mengekalkan kemajuan teknologi serta industri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Selangor yang memberi mandat dan keyakinan untuk memegang tampuk kepimpinan bagi memastikan pembangunan negeri seiring kesejahteraan rakyat.

“Kini, kuasa di tangan rakyat untuk memilih yang terbaik.

“Saya yakin kematangan rakyat Selangor yang mahukan kerajaan stabil, kuat, berwawasan, berwibawa dan peduli,” katanya.


Pengarang :