NASIONAL

CCTV beri impak positif kurangkan kes buli

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 APR: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah yang dikategorikan ‘sekolah berisiko tinggi’ berjaya mengurangkan kes buli dengan rekod 2,795 kes, bagi 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, sebanyak 3,448 kes buli dilaporkan pada 2016 dan pihaknya memandang serius gejala itu dalam usaha menjayakan kempen ‘Sifar Buli’.

“Kita tidak mendabik dada tetapi masih dalam proses memperolehi kejayaan. Kejayaan ini boleh diperoleh menerusi kerjasama semua pihak termasuk polis untuk merealisasikan hasrat sifar buli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab solan dikemukakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong dalam sesi jawab lisan, Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, sesebuah sekolah dikategorikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan tiga ciri iaitu sekolah berada dekat dengan jalan keluar-masuk utama, dalam kawasan perumahan dan kerap berlaku kes kecurian di kawasan sekitar.

Kamalanathan berkata, setiap sekolah dibekalkan dengan lapan CCTV dan dua monitor bagi pemantauan.

Tiga lokasi wajib pemasangan di pintu masuk utama, dalam pondok kawalan serta depan pintu masuk pejabat pentadbiran.

“Pemasangan CCTV dimasukkan dalam skop kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kontrak kawalan keselamatan menetapkan setiap sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berisiko tinggi dibekalkan dan dipasang lapan kamera serta dua monitor CCTV oleh syarikat kawalan keselamatan dilantik.

“Lima lokasi lain ditentukan sendiri pentadbir sekolah di kawasan sesuai dengan tidak menentang hak kebebasan murid dan guru,” katanya.


Pengarang :