GLOBAL

China lancar laman web awasi pengintipan asing

GLOBAL 16 APR: China meningkatkan kempen mengawasi pengintipan asing dengan melancarkan laman web berbahasa Mandarin dan Inggeris untuk menggalakkan rakyatnya melaporkan ancaman keselamatan negara.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Kementerian Keselamatan Negara China melancarkan laman web www.12339.gov.cn semalam.

Kementerian itu turut menggesa sesiapa saja boleh melaporkan cubaan rakyat China atau warga asing untuk memberi rasuah kepada pegawai kerajaan atau tentera, menghasut rusuhan bersenjata atau pemisahan etnik.

Tingkah laku bermasalah seperti pertemuan warga asing dengan mana-mana rakyat China yang melakukan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara atau disyaki melakukan perbuatan itu turut dianggap satu ancaman.

Menurut laman web itu, pemberi maklumat akan diberi ganjaran dengan mendedahkan peralatan perisikan atau memberi petunjuk terhadap mana-mana suspek yang membeli atau menjual rahsia negara.

Pengguna yang mahu membuat aduan boleh berbuat demikian dengan menggunakan bahasa China atau Inggeris.

Bagaimanapun, laman web itu tidak menjelaskan jumlah ganjaran yang bakal diterima pengadu.

Akhbar Beijing Daily melaporkan April tahun lalu, Biro Keselamatan Negara Bandar raya Beijing menawarkan 10,000 hingga 500,000 yuan (RM5,835 hingga RM284,000) untuk maklumat mengenai perisik.

SUMBER: AFP


Pengarang :