SUKANKINI

Chong Wei raih emas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 APR: Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih pingat emas ketiganya dalam acara perseorangan lelaki sekali gus menewaskan pemain nombor satu dunia, K Srikanth pada temasya Sukan Komanwel di Pusat Riadah dan Sukan Carrara, di sini.

Memetik laporan BH Online, Chong Wei bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum menang dalam aksi tiga set 19-21, 21-14, 21- 14 ke atas pemain berusia 25 tahun dari India itu.

Ia merupakan kemenangan kelima Chong Wei yang diletakkan pilihan kedua temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 ke atas Srikanth yang menjadi pilihan utama di sini, daripada enam pertemuan mereka sebelum ini.

Ekoran daripada kemenangan terbabit, Chong Wei menutup penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan sejak tiga edisi lalu.

Terdahulu, pada set pertama, pemain di ranking tujuh dunia itu bermula dengan baik apabila mendahului 5-0 dengan deretan smash kencang tetapi Srikanth menggunakan kepantasannya untuk mendahului 11-9 sebelum meraih kemenangan.

Perlawanan set kedua berlangsung penuh sengit apabila Srikanth seperti memaksa Chong Wei mengerahkan segala keringat dan pengalamannya sebelum bekas pemain nombor satu dunia itu cemerlang membawa perlawanan ke set penentuan.

Manakala pada set ketiga, Chong Wei seperti berada di kelas yang berbeza apabila pada satu ketika mendahului 11-5 sebelum Srikanth yang tampak gugup akhirnya tumbang.


Pengarang :