PBTSELANGOR

Cintai alam sekitar, pupuk gaya hidup sihat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APR: Kira-kira 500 peserta menjayakan Program Jalan Santai Kitar Semula sempena Hari Tanpa Kenderaan Bulan April, anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Pegawai Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penyertaan menggalakkan itu membuktikan bahawa komuniti setempat amat menitikberatkan soal penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, ia juga sebahagian daripada usaha murni MBSA dalam memberi bimbingan terhadap masyarakat khususnya golongan muda, untuk menjadikan alam sekitar sebagai aspek penting dalam kehidupan harian.

“Selain memupuk sikap cintakan alam sekitar, kita mahu pastikan komuniti setempat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

“Pada masa sama kita memberi fokus terhadap matlamat menjadikan Shah Alam Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, pagi ini.

Sehubungan itu, Shahrin berkata, bagi memastikan lebih ramai penglibatan masyarakat sekitar, pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang program tersebut berlangsung.

“Ia termasuklah aktiviti berbasikal, larian, persembahan pentas daripada kombo MBSA, zumba dan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Ada juga permainan ‘wall climbing’, ‘hover board’, ‘rollerblade’, ‘Fruit Eating Challenge’, cabutan bertuah, ‘Mobile Library MBSA’, ‘Food Truck’, ‘Cat Adoption’, ‘Tourism Street’, kostum paling kreatif, ‘petting zoo’ dan ‘doodles painting’.

“Antara lain yang disediakan adalah Kaunter Bergerak Shah Alam on Wheel (SAOW) untuk kemudahan perkhidmatan semakan dan pembayaran cukai taksiran serta kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, juga jualan kupon parkir,” katanya.

Terdahulu, majlis pelepasan turut disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan hadir sama Ahli Majlis serta Pengarah Jabatan MBSA.

Sementara itu, Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan adalah aktiviti bulanan MBSA bertujuan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menjadi faktor pencemaran alam sekitar.


Pengarang :