SUKANKINI

Cub Prix: Kasma juara pusingan pembukaan 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 APR: Juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin mengungguli perlumbaan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, Johor, semalam.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan 20 pusingan perlumbaan kategori CP150 dengan masa keseluruhan 14:54.984s mengatasi dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ, Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman.

Afif menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14:55.266s, manakala Hafiz meraih podium pertamanya dalam kelas perdana di tangga ketiga dengan masa 15:01.124s.

Kasma mendahului perlumbaan dari awal sehingga ke garisan penamat walaupun cuba diberikan cabaran oleh Afif, pada penghujung perlumbaan.

“Saya terpaksa bekerja keras mengekalkan kedudukan pada penghujung perlumbaan kerana Afif memberikan saingan sengit.

“Saya menutup segala ruang untuknya memintas dan berjaya memenangi perlumbaan,” kata Kasma.

Pelumba rookie yang juga juara CP115, Mohd Akid Aziz mencipta kejutan dengan mencatat masa terpantas ketika sesi Superpole dan seterusnya memulakan perlumbaan dari petak pertama gagal menyerap tekanan pelumba senior apabila terlepas kedudukan pendahulu sebaik perlumbaan bermula kepada Kasma sebelum terpaksa menarik diri dari perlumbaan seawal pusingan pertama.

Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) memulakan musim itu dengan cemerlang setelah muncul juara dengan masa keseluruhan 11:45.056s mengatasi Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) (kedua) dengan masa 11:48.459s diikuti Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) (ketiga) (11:49.814s).

Sementara dalam kategori WIRA KBS, kemenangan menjadi milik duo SIC Junior Team AFB Tech Racing, Md Danial Syahmi dan Md Harith Haziq dengan masa keseluruhan 10:27.747s dan 10:28.421s diikuti pemenang tempat ketiga, Alif Ashraf Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha) dengan masa 10:29.866s.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pembukaan litar lumba berkenaan.

KEPUTUSAN AKHIR:

CP150

1. Kasma Daniel Kasmayuddin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 14:54.984s
2. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 14:55.266s

3. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 15:01.124s

 

CP115

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:45.056s

2. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 11:48.459s

3. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 11:49.814s

 

WIRA KBS

1. Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:27.747s

2. Harith Haziq (SGR) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:28.421s

3. Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha 10:29.866s


Pengarang :